SUKAN SEA
Tenis: Aiman teruja raih penampilan pertama
Pemain tenis negara, Muhammad Aiman Hamdan, mengakui masih banyak yang harus diperbaiki apabila dipilih menggantikan atlet senior negara, Ahmad Deedat Abd Razak, ke Sukan SEA Filipina, November depan.
Aiman menjadi pilihan terbaik ketua jurulatih skuad tenis negara, Suresh Menon, ekoran Deedat tidak mampu menyertai kempen Sukan SEA akibat kecederaan.
Bagaimanapun, dia mengakui masih banyak yang perlu diperbaiki sebelum Sukan SEA dan tonik terbaik untuk menambah baik prestasinya adalah jika diberi peluang beraksi lebih banyak dalam kejohanan antarabangsa.
"Buat masa sekarang, mungkin perlu lebih banyak kejohanan untuk mengetahui tahap sedia. Sekarang, saya masih dalam fasa persiapan, jadi mungkin akan sedia dalam masa terdekat," katanya.
Atlet berusia 18 tahun itu -- yang kini berada di ranking ke-11 negara -- bakal melakukan penampilan pertamanya di pentas antarabangsa bagi peringkat senior apabila beraksi di Manila, dua bulan lagi.
Dalam edisi Sukan SEA 2017, skuad tenis negara hanya mampu meraih pingat gangsa menerusi Jawairiah Noordin-S.Theiviya bagi acara beregu wanita.