Skip to main content

Gusti

Tekanan mental dan fizikal buat Roman Reigns

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

roman-reigns.jpg
Bintang WWE, Roman Reigns telah ditemubual WWE.com baru-baru ini bagi mengulas tentang abang kandungnya yang baru meninggal dunia, juga persediaan untuk bertemu dengan Braun Strowman di acara Payback minggu hadapan.

Mengulas tentang abangnya, Matt ‘Rosey’ Anoa’i yang meninggal dunia minggu lalu pada usia 47 tahun, Roman menyatakan yang ia merupakan saat yang amat menyedihkan dan seluruh ahli keluarganya amat terkesan dengan pemergian tersebut.

“Waktu ini, situasi yang berlaku masih sama dengan perasaan yang bercampur baur. Apabila anda tinggal dalam sebuah keluarga yang besar, dapat berkumpul bersama-sama amat menyeronokkan. Namun kini apabila kami berkumpul untuk menghantar salah seorang ahli keluarga ke pusara, ia sama sekali bukan sesuatu yang menyenangkan.

Dalam tradisi keluarga kami, walaupun anda hanyalah seorang berpangkat sepupu, namun ikatan itu seperti adik beradik. Kami amat rapat antara satu sama lain. Apatah lagi ia adalah abang kandung sendiri. Hubungan kami amat rapat.

Ia adalah hujung minggu yang amat menyebalkan. Sukar untuk kami terima hakikat ini dan tiada lain yang dapat kami lakukan selain ketabahan. Semua orang berkabung. Namun dalam masa yang sama, menyaksikan seluruh ahli keluarga hadir termasuk didatangi keluarga dan kawan-kawan untuk turut sama memberikan penghormatan terakhir untuk mendiang, amat bermakna buat kami. Ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kami dalam menempuh hari-hari mendatang.”

Roman atau nama sebenarnya, Leati Joseph "Joe" Anoaʻi turut melahirkan rasa terharu atas sokongan yang diberikan oleh sahabat handai dan para peminat:

“Saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menghubungi kami dan menyampaikan salam takziah. Para peminat saya terutamanya, mereka amat memberikan sokongan. Ini adalah masa yang sukar. Namun harus diingat bahawa segala yang berlaku dalam kehidupan ini dapat kita ambil pengiktibaran dan dijadikan pedoman untuk menjadi yang lebih baik.

Satu-satunya harapan saya kini adalah untuk menyambung usaha sebagai wakil keluarga dan mendiang abang saya dalam meneruskan legasi keluarga kami dalam industri gusti profesional.  Mendiang tidak pernah terlepas setiap perlawanan dan semua yang saya lakukan dalam gelanggang. Mendiang juga sering menasihati saya dan sentiasa bersedia untuk diajak berbincang pada bila-bila masa.

Acara Payback minggu hadapan dan semua perlawanan pada 2017 ini, saya akan mewakilinya dan membawa semangat mendiang setiap kali ke gelanggang.”

Ketika ditanya tentang persediaannya untuk menentang Braun Strowman di acara Payback minggu hadapan, Roman, 32, nyata telah bersedia dan tidak pernah gentar dengan penggusti raksasa tersebut.

“Secara jujur, fizikal saya terdera sebagaimana emosi saya waktu ini. Dua minggu kebelakangan ini adalah amat menguji saya. Saya tidak pernah merasai pengalaman kehilangan satu-satunya abang kandung, juga dibelasah dengan teruk seperti yang Strowman lakukan terhadap saya pada dua minggu lalu.

Malang sekali, Strowman mengambil langkah yang salah dalam setiap perkara yang beliau lakukan.
Tak kiralah sama ada dia fikir yang dirinya gagah seperti raksasa dan sebagainya. Saya boleh diumpamakan seperti anjing garang di puncak rantaian makanan. Dan wilayah WWE kini adalah di bawah jajahan saya. Saya pernah katakan perkara  ini dan ingin saya ulang sekali lagi.

Saya telah tumbangkan jaguh lagenda terhebat sepanjang zaman (Undertaker). Dan Strowman wajar berasa bimbang kerana dia akan menerima pembalasan terhadap segala kerja jahatnya selama ini dan segalanya akan berlaku pada Isnin depan di acara Payback,” ujar Roman mengakhiri perbualan.

Sedikit info tentang susur galur keluarga Roman. Beliau adalah berketurunan separuh Samoa dan separuh Itali. Selain abangnya, Matt ‘Rosey’ Anoa’i yang meninggal minggu lalu, ayahnya Sika juga merupakan ahli gusti profesional.



Roman juga adalah sepupu kepada bintang gusti seperti mendiang Yokozuna, mendiang Umaga, Rikishi, Tonga Kid termasuk pasangan regu The Usos (yang merupakan anak kembar kepada Rikishi), Nia Jax serta The Rock.

Tidak syak lagi, keluarga besar Anoa’i amat signifikan di dalam industri ini dan legasi penguasaan keluarga ini kini disandang ke bahu Roman dalam menggalas tanggungjawab untuk kekal sebagai antara keluarga paling dihormati dalam sejarah gusti profesional.



Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro On The Go.
 
Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.
 
 

Advertisement

Must Watch Video