Takraw: Regu negara hampiri kilauan emas

Bernama
Ogos 27, 2018 18:29 MYT
Skuad sepak takraw negara hanya selangkah lagi untuk mencapai pingat emas selepas mudah menumpaskan Singapura 2-0 dalam aksi separuh akhir acara antara regu Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Dewan Ranau, Bandar Sukan Jakabaring, barisan anak buah Abdul Talib Ahmad menepati ramalan untuk menang set pertama 21-8.
Percaturan ketua jurulatih, Abdul Talib, yang tidak menurunkan tekong utama Mohammad Syahir Mohd Rosdi, sebaliknya bergantung kepada tekong simpanan Muhammad Zulkifli Abd Razak jelas tepat apabila regu negara turut memenangi set kedua dengan catatan mata 21-8.
Dalam aksi final esok, regu negara bakal berdepan sama ada pasukan tuan rumah, Indonesia, atau Korea Selatan yang sedang beraksi dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang dilangsungkan serentak.
Sementara itu, Abdul Talib memuji pemainnya dan menyifatkan kejayaan mereka sehingga melangkah ke final itu adalah hasil daripada usaha dan kerjasama sepasukan.
“Saya melihat pemain kita saling membantu, maknanya sekiranya Muhammad Syahir tidak memjadi permainannya, maka Muhammad Zulkifli ada sebagai sokongan.
“Sama juga macam posisi perejam, iaitu Mohammad Azlan Alias dan Muhammad Norhaffizi Abd Razak, yang sentiasa bantu-membantu di antara satu dengan yang lain,” katanya selepas perlawanan.
Dalam pada itu, Abdul Talib juga sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dengan pasukan mana yang akan bertemu skuad negara dalam aksi final esok.
"Kami sudah ada strategi, namun saya akan tengok dahulu siapa lawan dalam final nanti dan selepas itu saya akan lihat kesesuaian siapa yang bakal diturunkan esok,” katanya.
Acara itu menjadi sasaran kontinjen Malaysia untuk menuai emas seterusnya bagi mencapai sasaran kutipan tujuh pingat emas seperti yang dilaungkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebelum ini.
-- BERNAMA
;