SEPAK TAKRAW

Takraw Piala Emas Khir: Kelantan ke separuh akhir

Farizal Yusoff 01/07/2018 | 03:58 MYT
Tuan rumah, Kelantan, mara ke separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir JohariKe-54 apabila menewaskan Selangor 2-0 di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Kota Bharu, malam tadi.
Regu A Kelantan yang diwakili tekong utama, Mohamad Hisham Mat atau Pok Sam, Nur Yuslie Md Jusoh (apit kanan) dan Malek Faqmi Ideris tewas set pertama 22-24 sebelum bangkit dalam set kedua 21-16.
Dalam set penentuan, servis kencang Pok Sam jelas menjadi dan berjaya memerangkap regu Selangor yang diwakili Mohd Yusharil Amir (tekong), Mohd Shah Fiqul Nizam (apit kanan) dan Muqlis Burhan untuk menang 21-18.
Berbekalkan sokongan padu penyokong, Kelantan yang menurunkan Muhd Farid Abdul Aziz sebagai tekong, Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Wan Naim Izani Wan Mohd Noor (apit kanan) tidak berdepan sebarang masalah untuk menang 21-18 ke atas regu kedua Merah Kuning dalam masa 27 minit.
Dalam set kedua, libasan kencang apit kanan, Wan Naim Izani, banyak memberi mata kepada Kelantan untuk menang 21-15, sekali gus membawa tuan rumah ke separuh akhir.
Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK), Datuk Mohd Radzuan Abdullah, jelas gembira dengan prestasi pemainnya dan mahu mereka terus memberikan aksi terbaik di peringkat separuh akhir, pagi ini.
"Alhamdulillah, tahniah kepada semua pemain Kelantan yang berjaya ke separuh akhir dan mengulangi pencapaian tahun lepas.
"Harap terus fokus untuk aksi separuh akhir yang dijangka sengit," katanya.
Keputusan lain:
TERENGGANU 2 KUALA LUMPUR 1
ATM 2 PUTRAJAYA 0
Perak 2 PDRM 1
;