SUKAN LAIN
Syed Saddiq yakin ASUM buat pilihan tepat
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yakin Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) akan membuat keputusan tepat mengenai penerjun mana yang sepatutnya mengisi slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 demi memburu pingat emas sulung negara dalam temasya sukan terbesar dunia itu.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin barisan kejurulatihan ASUM arif mengenai penerjun mana yang sepatutnya dipilih walaupun tiketnya diraih oleh penerjun lain.
Ia susulan kejayaan gandingan Pandelela Rinong-Leong Mun Yee meraih pingat perak acara terjun 10 meter platform seirama wanita dalam Kejohanan Dunia FINA di Gwangju, Korea Selatan kelmarin.
Iklan
Namun, beberapa penerjun lain seperti Cheong Jun Hoong, Kimberly Bong dan Nur Dhabitah Sabri juga mampu beraksi dalam acara itu.
"Fokus utama adalah untuk memastikan mereka yang paling berkelayakan dan berkebolehan untuk mewakili Malaysia.
"Itu memang standard yang kami gunakan dan kami akan putuskannya dalam perbincangan bersama," katanya selepas majlis Konvokesyen Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) di Putrajaya, hari ini.
Tumpuan diberikan buat Mun Yee yang berpeluang mencipta rekod sebagai atlet paling banyak mewakili negara dalam Sukan Olimpik selepas temasya di Sydney pada 2000, Athens (2004), Beijing (2008) dan London (2012).
Sementara itu, Syed Saddiq sedia mengadakan perbincangan dengan bekas tekong sepak takraw negara, Mohd Syahir Rosdi dan Mohd Zulkifli Abdul Razak, dalam sesi bertemu menteri di Majlis Sukan Negara (MSN), Khamis ini.
"Ia memang sentiasa terbuka.
"Khamis ini, mungkin saya akan berjumpa beberapa (atlet) daripada ISN (Institut Sukan Negara) dan yang lain.
"Kalau dia nak bertemu, boleh hadir dan pada masa yang sama, kongsikan pendapat dan masalah untuk kita cari jalan penyelesaian bersama," tambahnya.
Must-Watch Video