BINA BADAN

Syarul Azman berdepan tekanan hadapi dua kejohanan utama

Astro Arena 11/05/2017 | 05:45 MYT
Atlet bina badan negara, Syarul Azman Mahen, mempunyai tempoh singkat untuk menghadapi dua kejohanan penting tahun ini, iaitu Kejohanan Bina Badan Asia di Korea Selatan dan Kejohanan Bina Badan Dunia di Ulan Bator, Mongolia.
Tarikh dua kejohanan ini dilangsungkan dalam tempoh yang agak dekat antara satu sama lain.
Kejohanan Asia akan berlangsung pada 20 Ogos ini sementara Kejohanan Dunia dijangka membuka tirai pada awal Oktober.
Senario itu sekaligus meletakkan tekanan besar terhadap Syarol Azman, apatah lagi bakal hadir dengan reputasi pemenang pingat emas dalam Kejohanan Asia dan Kejohanan Dunia, tahun lalu.
"Memang persatuan pun mengharapkan saya mengulangi kejayaan tahun lepas. Saingan sudah tentu datang dari Korea Selatan kerana mereka tuan rumah bagi Kejohanan Asia.
"Sementara itu, dalam Kejohanan Dunia, saingan lagi ketat, terutama wakil Mongolia yang sering mengekori rapat setiap kali kami bersaing," jelasnya.
Ketiadaan acara bina badan dalam temasya Sukan SEA juga menyuntik semangat buat Syarul Azman untuk menghadiahkan sebutir emas dalam Kejohanan Bina Badan Asia bagi menebus kekecewaan itu.
Ketika ini, dia memberi penekanan terhadap aspek pemakanan bagi mendapatkan tubuh badan ideal menjelang dua kejohanan utama itu.
"Saya memberi keutamaan terhadap bentuk tubuh saya dan cuba mengekalkan saiz badan dan persembahan menjelang hari kejohanan nanti," tambahnya.
;