BOLA TAMPAR
Super Sooka Volleyball: Selangor Lion tekad kekal rekod kebal
Beraksi tanpa jurulatih sejak perlawanan pertama tidak membuatkan pasukan Selangor Lion tunduk dalam lima perlawanan Super Sooka Volleyball Malaysia 2022.
Pemain Selangor, Khairool Shazrime Shamsaimon, mendedahkan ketua jurulatih, Shamsaimon Mohd Sharif, yang mengalami kecederaan pergelangan kaki dan buku lali ternyata mempunyai cara tersendiri untuk tetap memantau anak buahnya dalam sesi latihan.
Bakal menentang Sabah Rhino dalam perlawanan keenam, Khairool Shazrime, menyifatkan ia sebagai satu perlawanan yang mencabar tetapi mereka terus gigih mempersiapkan pasukan bagi aksi di Dewan Besar Tanjung MBSA Seksyen, Shah Alam hujung minggu ini.
"Kami akan berkomunikasi dengan 'ayah' melalui video panggilan telefon sebelum dia menyalurkan maklumat untuk latihan selanjutnya.
"Ketiadaannya tidak memberi impak besar memandangkan kebanyakan pemain dalam pasukan ini memiliki pengalaman.
"Kalau jurulatih ada lebih baik, jika tidak kami terpaksa menyesuaikan diri," katanya di Nadi Arena.
Pertemuan getir itu akan berlangsung Sabtu ini dan ia mampu mengubah senario calon juara liga musim ini dengan baki dua aksi lagi.
"Kami akan buat persediaan dan ikut arahan yang diterapkan.
"Saya harap kami dapat kekalkan kemenangan dan juga sebagai hadiah buat jurulatih," katanya lagi.
Selain perlawanan tumpuan Selangor dan Sabah, Kuala Lumpur Shark perlu kemenangan ke atas ATM Gladiators sekiranya ingin melayakkan diri ke separuh akhir.
Skrip yang sama buat Johor Tiger yang akan berdepan Melaka Mousedeer untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir.