HOKI

Sukri kecewa Malaysia gagal ke Final Liga Hoki Dunia

Penulis Jemputan 20/07/2017 | 06:06 MYT
Sukri Mutalib melahirkan rasa kecewa kerana Malaysia gagal ke Final Liga Hoki Dunia apabila empat pasukan yang layak ke peringkat separuh akhir kejohanan itu di Afrika Selatan memiliki ranking lebih tinggi berbanding skuad Malaysian Tigers.
Malaysia terpaksa akur selepas tiada kejutan berlaku di Afrika Selatan, dengan empat pasukan yang mara -- Sepanyol, Jerman, Australia dan Belgium -- memiliki ranking dunia lebih baik untuk memusnahkan impian Malaysia ke Bhubaneswar, India, hujung tahun ini.
"Saya sebagai pemain sedikit kecewa kerana Final Liga Dunia adalah platform terbaik untuk pemain meningkatkan lagi mutu permainan. Ia kerana di situ kami akan bertemu lapan pasukan terbaik di dunia.
"Kami terpaksa menerima hakikat kami tidak boleh bermain dalam Final Liga Dunia," kata kapten pasukan itu.
Malaysia meraih tangga keempat separuh akhir Liga Dunia di London, England bulan lalu.
Skuad kendalian Stephen van Huizen layak ke Piala Dunia tetapi mengharapkan pasukan tangga keempat di Afrika Selatan milik negara ranking lebih rendah.
Begitupun, masih ada dua tugas penting tahun ini, iaitu Sukan SEA dan Piala Asia.
"Sudah tentu semua orang ada cita-cita untuk bermain dalam Final Liga Dunia untuk meningkatkan lagi ranking tetapi tidak dapat. Tiada masalah.
"Mungkin kita boleh harapkan yang terbaik untuk kejohanan seterusnya," kata penjaga gol, S. Kumar.
Ranking lapan negara ke Final Liga Hoki Dunia:
India - No.6 (tuan rumah)
Argentina - No.1 dunia
Australia - No.2 dunia
Jerman - No.3 dunia
Belanda - No.4 dunia
Belgium - No.5 dunia
England - No.7 dunia
Sepanyol - No.10 dunia
*Malaysia - No.14 dunia
#Hoki #Liga Hoki Dunia #Sukri Mutalib #S. Kumar #Malaysian Tigers
;