SUKAN LAIN

Sukma: WP pertahan kejuaraan buat kali keempat

Bernama 12/09/2018 | 13:53 MYT
Gimnas berirama Wilayah Persekutuan berada dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan kejuaraan buat kali empat berturut-turut dalam acara berpasukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) di sini.
Pada edisi ke-19 Perak, gimnas Wilayah Persekutuan yang dibarisi Rayna Hoh Khai Ling, Iman Alisha Fakhiri Yassin, Jingle Shak Qi, Ng Joe Ee mempamerkan persembahan cemerlang dalam empat rutin iaitu bola (ball), gelung (hoop), riben (ribbon), dan belantan (clubs) meraih pingat emas dengan kutipan 136.250 mata.
Mereka menewaskan gimnas Selangor ditempat kedua dengan 110.600 mata dan gimnas Pahang melengkapkan podium dengan 108.500 mata di Stadium Indera Mulia di sini.
Rayna Hoh yang akan beraksi di Sukan Olimpik Remaja di Argentina bulan depan berkata beliau sangat berpuas hati dengan persembahanya dan menyasarkan menyapu bersih empat pingat emas dalam acara individu yang akan berlangsung esok.
“SUKMA adalah pemanas badan untuk saya sebelum ke Argentina. Saya tidak memikirkan siapa saingan tetapi mahu fokus untuk memberikan persembahan yang baik dan mantap dalam setiap rutin. Setiap rutin mempunyai ‘character’ berbeza-beza, jadi saya perlu konsisten.
“Ini adalah SUKMA terakhir saya dan berharap gimnas-gimnas yang lain meneruskan kecemerlangan gimnas Wilayah Persekutuan pada edisi-edisi akan datang,” katanya selepas majlis penyampaian pingat.
Sementara itu, Ng berkata kejayaan mereka hari ini adalah hasil kerja keras semua gimnas yang memberikan komitmen terbaik untuk memastikan Wilayah Persekutuan terus mengungguli sukan itu.
“Saya sangat gembira, pada penampilan pertama ini, saya dapat membantu pasukan menyumbangkan pingat emas untuk pasukan ini. Bagaimanapun ketika aksi dua rutin terakhir hari ini, saya masih berasa gugup kerana perserta lain mempunyai kelebihan tersendiri,” jelas Ng.
-- BERNAMA
;