SUKAN LAIN

Sukma: Terengganu ungguli 25m standard pistol lelaki tanpa lapang sasar

Penulis Jemputan 17/09/2018 | 10:16 MYT
Penembak berusia 16 tahun Johor, Nurul Syasya Nadia Mohd Arifin, mencipta rekod baru Sukan Malaysia (Sukma) 2018 apabila merangkul pingat emas saingan 10m air pistol wanita, hari ini.
Nurul Syasya melakukan bidikan tepat untuk mencatat 562 mata bagi memadam rekod temasya yang dicatat Siau Ciuli dari Perak pada 2014.
Catatan itu turut membantunya memastikan Johor meraih emas saingan berpasukan wanita dengan jumlah 1,639 mata yang juga merupakan rekod baru Sukma.
Atlet berasal dari Batu Pahat itu menewaskan pencabar terdekatnya, Dina Batrisyia Adi Azhar, yang meraih perak dengan 559 mata manakala gangsa milik Nur Nathasha Shahira Rosli dari Pahang dengan 558 mata.
Bagi Nurul, dia tidak menjangka mampu meraih dan melakar rekod baru temasya.
"Terima kasih kepaa jurulatih dan ibu-bapa dari mula pembabitan saya sehingga sekarang," katanya.
Sementara itu, Terengganu meraih emas kedua menerusi menembak dalam Sukma kali ini apabila Safirredzuan Salim mengungguli saingan 25m standard pistol individu lelaki.
Safirredzuan mencatat 548 mata untuk emas dan menewaskan wakil Pahang, Low Wei Chern, dengan 544 mata untuk perak dan gangsa milik seorang lagi wakil Terengganu, Nik Muhammad Luqman Nik Omar, dengan 543 mata.
Bagi Safirredzuan, 21 tahun, dia bersyukur dengan kemenangan ini yang juga Sukma terakhir buatnya.
"Kejayaan ini mendapat pujian jurulatih saya sebab kami tiada lapang sasar di Terengganu.
"Jurulatih sayalah (Ahadi Othman) yang membawa kami ke sana dan ke sini untuk mengadakan latihan.
"Justeru, kami telah memberikan hadiah terbaik buat jurulatih," katanya.
Dalam pada itu, Ahadi turut bangga dengan pencapaian penembak Terengganu dalam Sukma kali ini.
Bagi Ahadi, atlet kendaliannya berdepan beberapa kesukaran menjalani persiapan memandangkan mereka tiada kemudahan buat sukan menembak di Terengganu.
"Kerajaan negeri Terengganu memberi peruntukan untuk kami mengadakan latihan di luar.
"Apa yang kami dapat berbaloi dengan usaha atlet sendiri yang begitu bersemangat dalam Sukma Perak ini," ujar beliau.
;