Sukma Sarawak: Malissa Khaizreen tekad raih emas

Azreena Faizal
Mei 29, 2024 19:42 MYT
Atlet pencak silat Wilayah Persekutuan, Malissa Khaizreen Mohamad Kahidir, tekad untuk menamatkan penampilannya di Sukma Sarawak dengan kilauan pingat emas.
Bagi edisi kali ini, Malissa akan beraksi dalam acara tunggal puteri dan yakin mampu pulang dengan hasil yang lebih lumayan setelah menjalani latihan intensif sejak tahun lalu.
Malissa, yang kini berusia 22 tahun itu mahu penampilan terakhirnya di Sukma diakhiri dengan kejayaan manis.
"Tahun ini adalah tahun terakhir saya dan saya akan berikan yang terbaik kerana sebelum ini saya sangat sedih hanya meraih gangsa," kata Malissa.
Malissa terlepas aksi Sukma pada 2020 ekoran pandemik Covid-19, yang menyebabkan dirinya terpaksa menunggu dua tahun lagi untuk penampilan pertamanya di Sukma MSN. Namun, dia hanya terpaksa berpuas hati dengan gangsa dalam acara ganda puteri.
Kali ini, Malissa memberi tumpuan sepenuhnya kepada dirinya sendiri dalam usaha mencapai sasaran emas dan melunaskan dendam kekalahan kepada Selangor dua tahun lalu di saingan separuh akhir.
"Latihan kali ini memang saya 'all-out' dan lebih memikirkan diri saya sahaja sebab saya berada dalam acara perseorangan," katanya.
Dengan semangat dan azam yang tinggi, Malissa berharap dapat menebus kekecewaan lalu dan mencatat sejarah peribadi yang gemilang di Sukma Sarawak.
#Sarawak #Sukma #Sukan Malaysia #Sukma Sarawak
;