Sukma Sarawak: Juara bertahan tewas dalam aksi sulung
Ogos 12, 2024 21:10 MYT
Juara bertahan, Terengganu terpaksa akur dengan kekalahan pertama apabila tewas 0-1 kepada Johor pada aksi pembukaan Kumpulan B saingan bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang berlangsung di Stadium Zaidi Adruce di Sibu hari ini.
Ketua pasukan Johor, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-61 sekali gus memberikan permulaan sempurna buat skuad bimbingan Gonzalo Sanz Zaballos menjelang aksi terakhir menentang Sabah Rabu ini.
Kekalahan itu meletakkan Terengganu yang dibimbing Subri Sulong dalam bahaya dan berdepan misi wajib menang untuk mara ke pusingan kalah mati ketika berdepan Sabah dalam perlawanan terakhir Jumaat ini.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan menang tipis ke atas Pahang 1-0 meskipun menguasai permainan pada pertembungan Kumpulan D di Stadium Mukah.
Naib juara edisi lalu, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing terpaksa berpuas hati membawa pulang satu mata selepas terikat tanpa jaringan pada aksi Kumpulan C di Stadium Bintulu.
Dalam saingan Kumpulan A pula, juara dua kali Selangor menundukkan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan Kumpulan A di Stadium Azman Hashim, Sibu.