Sukma Sarawak: 'The Flying Dayak', Watson Nyambek

Azreena Faizal
Mei 29, 2024 15:39 MYT
80 Hari Lagi Menjelang Sukma Edisi Ke-21!
Menjelang temasya Sukma edisi ke-21 yang bakal berlangsung tidak lama lagi, marilah kita menyoroti kejayaan atlet kelahiran Sarawak yang telah mencipta nama di pentas kebangsaan dan antarabangsa - Watson Nyambek, yang lebih dikenali dengan gelaran 'The Flying Dayak'.
Watson Nyambek, pelari pecut handalan negara dari Miri, Sarawak, merupakan figura yang disegani dalam arena olahraga pada era 90-an. Di bawah bimbingan jurulatih berkaliber dari Kanada, Daniel St Hilaire, Watson mula mencipta nama di pentas Sukma pada tahun 1996 di Kuantan.
Dalam acara 100 meter, Watson bersaing dengan jaguh-jaguh terkenal seperti Azmi Ibrahim dan berjaya mencipta rekod kebangsaan baru dengan catatan masa 10.38 saat. Tidak berhenti di situ, pada Sukma 1998, Watson sekali lagi mengharumkan nama negara dengan memperbaharui rekod kebangsaan 100 meter dengan masa 10.30 saat.
Kejayaan Watson tidak terhenti di peringkat kebangsaan sahaja. Pada tahun 1998, di Kejohanan Olahraga Asia yang diadakan di Fukuoka, Jepun, Watson berjaya meraih tempat kedua dengan catatan masa 10.42 saat, hanya tiga saat di belakang pelari handalan dari China, Zhou Wei.
Kejayaan Watson Nyambek sebagai lagenda Raja Pecut negara adalah bukti kehebatan dan dedikasinya dalam bidang olahraga. Beliau telah memberi inspirasi kepada generasi pelari pecut muda untuk terus berusaha mencapai kejayaan di pentas antarabangsa.
Kini, di ambang Sukma edisi ke-21, kita berharap agar dapat melihat bintang-bintang olahraga baru yang bakal muncul dan mengukir kejayaan sepertimana yang pernah dicapai oleh Watson Nyambek.
Adalah menjadi harapan semua agar lagenda seperti Watson dapat terus memberi inspirasi dan bimbingan kepada generasi atlet yang akan datang, serta mungkin kembali dalam peranan lain untuk menyumbang kepada dunia sukan tanah air.
#Sarawak #Sukma #Sukan Malaysia #Sukma Sarawak