SUKMA
Sukma Sarawak: Anak Dayak, Jonathan Nyepa kebanggaan Sarawak
95 hari menjelang Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-21 yang akan berlangsung di sembilan daerah terpilih antaranya Bintulu, Sibu dan Kuching.
Terdapat beberapa atlet kelahiran Sarawak yang telah mencipta nama di pentas dunia serta mengharumkan nama negara dengan kejayaan diperoleh, antaranya Jonathan Nyepa.
Atlet pecut negara itu sebelum ini meraih pingat perak dalam acara 100m lelaki Sukma Sarawak pada 2016.
Iklan
Dalam aksi final itu, Jonathan dipintas 'The Speedy Jantan', iaitu Khairul Hafiz Jantan, yang menamatkan larian dengan catatan masa 10.18 saat, sekali gus memecahkan rekod Watson Nyambek (10.30s) pada tahun 1998 -- juga atlet dari Sarawak.
Anak Dayak itu telah mempamerkan aksi cemerlang di Korea Selatan apabila menamatkan larian dengan catatan masa 10.28s, sekali gus menambah pingat perak buat dirinya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Korea Selatan di Jeongseon, Gangwon-do pada 2017.
Kejayaan itu telah melonjakkan kedudukan anak kelahiran Belaga, Kapit itu sebagai pelari kedua terpantas dalam skuad olahraga kebangsaan di belakang Khairul Hafiz.
Pada 2022, Jonathan telah menampilkan larian bertenaga untuk muncul raja pecut dan membantu kuartet lelaki 4x100m negara meraih pingat emas dalam Kejohanan Trek dan Padang Singapura ke-82.
Lebih manis, Jonathan turut menambah lagi satu koleksi pingat emas buat dirinya apabila berjaya menewaskan Marc Brian Louis dengan catatan masa 10.66s, hanya dibezakan 0.01 s dengan wakil tuan rumah itu.
Atlet berumur 28 tahun itu turut berjaya mengatasi rakan senegara, Muhammad Haiqal Hanafi, apabila juara Sukan SEA itu terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan masa 10.75s.
Jonathan kemudian terus melakar kejayaan apabila dia bersama Muhammad Haiqal, Muhammad Azeem Fahmi dan Zulfiqar Ismail berjaya menewaskan Indonesia dan Singapura untuk merangkul pingat emas dalam acara 4x100m lelaki Sukan SEA Vietnam 2021 dengan mencatat masa 39.66s.
Jonathan sekali lagi berjaya meraih pingat emas acara 100m dalam Kejohanan Olahraga Asia Tengah 2022 di Uzbekistan. Dia mengalahkan rakan senegara, Khairul Hafiz Jantan, yang menduduki tempat kedua. Jonathan mencatat masa 10.55s.
Jonathan telah membuktikan atlet kelahiran Bumi Kenyalang mampu mengukir nama dan bergelar juara di pentas olahraga dunia.
Must-Watch Video