Sukma Sarawak 2024: Tuan rumah raih tiga pingat emas sukan tinju, perjuangan buru emas diteruskan


Ogos 22, 2024 07:55 MYT
Kem tinju Sarawak meraih tiga pingat emas bagi saingan malam pertama peringkat akhir untuk acara sukan tinju pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di Stadium Tertutup, Kompleks Sri Aman semalam.
Tiga pingat emas berjaya diraih oleh Clarkson Evans Tom Frankie (48kg), Gideon Riquelme Jonathan (75kg) dan Hamiesha Hamdan (57kg wanita).
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak berjaya mencipta sejarah apabila Hamiesha Hamdan merupakan atlet wanita Sarawak berjaya membawa pulang pingat emas sulung Sarawak bagi acara tinju.
“Ini adalah satu lipatan sejarah dalam SUKMA kerana belum pernah ada acara wanita untuk tinju diadakan dan selalunya kategori lelaki sahaja dipertandingkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir sukan tinju di Stadium Tertutup, Kompleks Sri Aman di sini malam tadi.
Tiga pingat emas itu menyumbang kepada peningkatan jumlah keseluruhan pingat emas bagi kontinjen Sarawak yang menyasarkan juara keseluruhan pada edisi ke-21 dan seterusnya mencapai sasaran 70 pingat emas.
Sehubungan itu, berbaki dua hari lagi, Abdul Karim mahu memburu sebanyak mungkin pingat emas bagi mencapai sasaran berkenaan.
“Sudah semestinya Sarawak mahu menjadi juara keseluruhan kerana kita belum lagi memenangi juara keseluruhan selama 30 tahun dan hari ini dan esok merupakan penentu bagi Sarawak.
“Kita boleh nampak adanya saingan di antara Sarawak dan Wilayah Persekutuan dan esok dan lusa menjadi penentu siapakah akan menjadi juara keseluruhan,” katanya lagi.
Selain tiga pingat emas berjaya disumbangkan, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa turut berjaya disumbangkan kepada Sarawak.
Malam ini, dua pingat emas diburu Sarawak menerusi Frederick Xian Bartholomew Albern (57kg) dan Clavia Charlene Sudang Kenedy (52kg wanita).
Setakat 7 pagi (23 Ogos), Sarawak berjaya meraih 62 pingat emas dengan Wilayah Persekutuan 55 pingat emas.
Kali terakhir Sarawak menjadi juara keseluruhan adalah pada SUKMA Perak 1994 dengan 39 pingat emas. – TVS
#Sukma #Sukan Malaysia #Sukma Sarawak
;