Kontinjen Terengganu berjaya menjuarai acara judo pada SUKMA 2024 selepas merangkul enam pingat emas daripada 18 acara yang dipertandingkan di Dewan Sri Balau, UiTM Mukah di sini.
Pada hari pertama, Terengganu memperoleh satu pingat emas, diikuti dua lagi pada hari kedua, dan tiga pingat emas pada hari terakhir pertandingan iaitu hari ini.
Ketua Jurulatih Terengganu, Marjan Abdullah, 38, menyatakan bahawa kejayaan pasukannya ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan penuh daripada Majlis Kerajaan Negeri Terengganu yang telah membantu sepanjang dua tahun persiapan mereka.
“Majlis Kerajaan Negeri Terengganu sangat membantu sepanjang dua tahun persiapan kami untuk menyumbang kepada SUKMA.
“Alhamdulillah, dengan sokongan penuh dari Kerajaan Negeri, kami berjaya menjadi juara keseluruhan dalam sukan judo,” katanya ketika ditemu bual selepas majlis penyampaian pingat hari ini.
Beliau turut berkongsi bahawa persiapan rapi termasuk membawa ramai atlet baharu dan menyertai beberapa kejohanan antara persediaan pihaknya mempersiapkan atlet.
“Dengan bantuan daripada Majlis Kerajaan Negeri, kami telah menyertai banyak kejohanan untuk persiapan ini, memastikan identiti pasukan lebih agresif dan matang dalam masa yang singkat.
“Ramai atlet muka baru ditampilkan untuk edisi SUKMA kali ini, dan Alhamdulillah, semuanya membuahkan hasil,” tambahnya lagi.
Meskipun berdepan cabaran, termasuk seorang atlet yang tidak dapat hadir berikutan komitmen lain, pasukan Terengganu tetap berjaya mencapai sasaran mereka.
“Kami memang menyasarkan enam pingat emas. Walaupun satu atlet tidak dapat hadir kerana terikat dengan Angkatan Tentera Malaysia, atlet lain berjaya menampung kekurangan itu untuk mencapai target kami,” jelasnya lagi.
Terengganu dan Pulau Pinang masing-masing berjaya meraih enam pingat emas dalam acara judo di SUKMA XXI.
Namun, Terengganu menunjukkan keunggulan dengan tambahan tiga pingat gangsa dan satu pingat perak, menjadikannya juara keseluruhan.
Sebaliknya, Pulau Pinang mencatatkan pencapaian dengan dua pingat perak dan dua pingat gangsa, meletakkan mereka di tempat kedua dari segi jumlah keseluruhan pingat yang diperoleh.
Sementara itu, Wilayah Persekutuan mengumpul dua pingat emas, satu pingat perak, dan dua pingat gangsa yang menempatkan mereka di kedudukan ketiga dalam senarai pencapaian keseluruhan.
Johor, walaupun tidak memperoleh pingat emas, berjaya membawa pulang empat pingat gangsa.
Kedah pula memperoleh dua pingat perak, manakala Selangor meraih dua pingat gangsa, mencerminkan persaingan sengit dalam kalangan negeri-negeri yang mengambil bahagian dalam temasya SUKMA edisi ini. – TVS
Stadium Astro
Fri Aug 23 2024