SUKMA
Sukma Sarawak 2024: Persahabatan erat trio boling tenpin wanita membawa kepada emas tuan rumah
Kisah persahabatan tiga sekawan membawa kejayaan luar biasa demi negeri tercinta, Sarawak.
Mula mengikat persahabatan sejak usia sembilan tahun, Nur Hazirah Ramli, mencipta karisma bersama Lavinia Kho dan Asya Dania Azree kepada tahap yang berbeza.
Berkawan, membesar dan berlatih bersama -- keserasian mereka tidak perlu dicari lagi, sebaliknya cukup sekadar menjadi diri sendiri.
Selaku wakil paling senior berbanding dua rakannya -- Nur Hazirah mempamerkan kepimpinan terpuji apabila mengetuai skuad trio boling tenpin wanita mengecapi kilauan pingat emas.
Lebih istimewa, ini merupakan pingat emas keempat peribadinya dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Nur Hazirah, Lavinia dan Asya Dania merekodkan 3,591 jatuhan pin selepas beraksi 18 game.
Setakat ini, Nur Hazirah muncul atlet terkaya kontinjen Sarawak apabila bakal membawa pulang wang insentif RM60,000.
"Kami sangat gembira atas kejayaan di tempat sendiri ini. Persembahan kami juga bagus," katanya.
Tambah Asya Dania: "Latihan kami membuahkan hasil. Kami amat menghargai ilmu yang diperturunkan jurulatih."