Sukma Sarawak 2024: Kerja keras Kristian Tung terbalas, sumbang emas 5,000m buat Wilayah Persekutuan

Saufi Tahir
Ogos 22, 2024 19:41 MYT
Pemenang emas 5 kilometer Wilayah Persekutuan, Kristian Tung, menjelaskan dia menjalani latihan larian dengan sasaran 130 kilometer seminggu apabila berjaya meraih pingat emas dalam final acara 5000 meter lelaki di Stadium Sarawak hari ini
Kristian memiliki impian sejak berusia 11 tahun lagi untuk berlari sehingga ke peringkat tertinggi pada satu hari nanti.
Dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma), pelajar jurusan sains sukan dan matematik di Universiti Loughborough, England itu tidak berhadapan masalah untuk menamatkan larian 5000m dengan catatan masa 15.20 saat untuk merangkul pingat emas.
Sekali gus menyaksikan dia layak untuk beraksi di temasya Sukan SEA Thailand 2025 menerusi catatan 14.31 saat yang juga merupakan catatan peribadi terbaiknya setakat ini yang dilakar pada 3 Ogos lalu.
"Saya berasa teruja kerana saya sentiasa bermimpi untuk berlari untuk Malaysia sejak dari kecil. Dan ketika kecil juga saya tidak bagus berbanding ketika ini.
"Saya berlatih sangat keras, dan ianya terbalas sekarang. Walaupun ramai yang menyaingi saya, saya percaya dengan kebolehan saya untuk bersaing dengan mereka, Satu perasaan yang bagus." Katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
#Sukma #Sukan Malaysia #Sukma Sarawak #Kristian Tung