Sukma Sarawak 2024: Jonah Chang fokus prestasi berbanding ganjaran

ss
Ogos 21, 2024 18:54 MYT
Jonah Chang tidak menolak sekiranya rehat sebulan selepas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 menjadi peluang terbaik untuk melunaskan minat yang dpendam sekian lama iaitu memiliki motosikal berkuasa tinggi berharga sekitar RM36,000 selain hasrat utama untuk berehat sambil bercucuk tanam di kampungnya, Sarikei.
Atlet lempar cakera itu, bagaimanapun, menegaskan tidak selesa andai ada yang melabelkan dirinya mengejar insentif kewangan yang ditawarkan kerajaan negeri yang menawarkan RM15,000 untuk setiap pemenang pingat emas.
Menerusi acara kedua peribadi Jonah, anak jati Sarawak ini tidak berhadapan cabaran sukar menghadirkan emas bagi lempar cakera selepas melakar 46.16 meter untuk emas kedua peribadinya.
"Saya teringin menunggang motosikal ke Indonesia, seluruh dunia. Itu impian saya. Saya meminati model Kawasaki Versys.
"Sebenarnya saya tidak fikir pasal emas. Kalau cakap sekali mungkin cetuskan motivasi saya tapi apabila bercakapnya terlalu kerap, saya jadi turunkan semangat saya.
"Sejujurnya ramai orang bercakap pasal duit, bukan pasal mutu persembahan dan sebenarnya saya tidak menggemarinya.
"Jadi saya memotivasikan diri dengan satu-satunya fokus saya ialah berjuang untuk Sarawak sahaja," katanya.
Walaupun keadaan hujan lebat pagi semalam menyulitkan situasi peserta lain, Jonah sebaliknya memiliki pendekatan berbeza untuk mengatasi halangan itu.
"Ramai peserta takut tergelincir ketika beraksi dalam.
"Mereka cuma perlu fokus teknik, jangan fikir pasal sejauh mana lemparannya. Dapatkan rentak dan anda tidak akan tergelincir," katanya.
Peserta dari Negeri Sembilan, Riess William, meraih perak dengan catatan 44.77m, manakala gangsa milik Rizar Azri Che Radzi dari Perlis.
#Sukma #Sukan Malaysia #Sukma Sarawak 2024
;