Skip to main content

SUKMA

Sukma Sarawak 2024: Fasiliti, kemudahan venue muaythai di Sarawak bertaraf antarabangsa -- Bernard

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

muay-thai-sarawak.jpg
Fasiliti dan kemudahan yang disediakan untuk acara Muaythai Sarawak di salah satu venue Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bertaraf antarabangsa.

Jurulatih Muaythai Negara, Bernard Radin berkata, Persatuan Muaythai Negeri Sarawak telah membuktikan Sarawak berpotensi menjadi venue penganjuran acara sukan berprestij itu.

“Mutu pengadilan sepanjang perlawanan Muaythai ini berlangsung setakat ini juga pada tahap terbaik,” katanya ketika ditemui media di venue penganjuran acara Muaythai bertempat di Naim Paragon Streetmall, Bintulu pada Sabtu.

Ketua Jurulatih Muaythai Perak itu berkata, prestasi keseluruhan atlet dan persatuan Muaythai di Malaysia semakin meningkat dan berkualiti.

“Prestasi atlet Muaythai Perak juga sangat memberangsangkan dan selari dengan perancangan saya dan pihak pengurusan.

“Kita juga beranggapan setiap kategori yang dipertandingkan sama ada untuk lelaki atau wanita membuka pintu untuk kami mendapatkan pingat emas,” jelasnya.

Tambahnya, mereka memberi fokus kepada latihan taktikal dan teknikal para atlet sebelum berentap.

Skuad Muaythai Perak antara pasukan yang memberi tentangan dan saingan sengit kepada pasukan negeri lain dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di peringkat separuh akhir.

Antara barisan peserta lelaki Muaythai Perak yang layak ke peringat separuh akhir ialah Raja Izaffuddin Petra Raja Anuar (42-45kg) dan Muhammad Amirul Nusri Jedan (57-60kg).

Manakala, peserta wanita ialah Nurul Najwa Abdullah (54-57kg), Raja Izzati Nabiha Raja Anuar (42-45kg), Nur Balqis Altisya Mohd Zairee (45-48kg) dan Nur Bisyarah Altisya Mohd Zairee.–TVS

Advertisement

Must Watch Video