Sukma Sarawak 2024: Emas ini sangat istimewa buat arwah ayah -- Amirul Danial
Najmi Iman
Ogos 23, 2024 20:25 MYT
Ogos 23, 2024 20:25 MYT
Tiada penamat yang lebih indah selain dapat mengabadikan pingat emas buat arwah ayah dan ia menceritakan perjalanan berliku buat atlet boling padang Johor, Amirul Danial Abdul Rahim.
Pemergian ayah tercinta sebelum menempuhi temasya Sukan Malaysia (Sukma) terakhir peribadinya yang meninggalkan impak yang cukup mendalam buat dirinya.
Apatah lagi, Amirul Danial sekadar gangsa dalam acara pairs dan tekanan semakin memuncak buatnya menjelmakan kilauan pingat emas singles.
Emas Sukma merupakan permintaan terakhir arwah ayahnya, Abdul Rahim, yang juga merupakan mengendalikan skuad Johor dalam edisi terdahulu.
Selepas mengharungi persaingan yang cukup getir bersama lawannya, Muhammad Afif Aiman Mohd Affendy, akhirnya kemenangan memihak Amirul Danial menerusi keputusan 21-15 selepas 22 end.
"Pingat emas ini sangat bermakna buat saya kerana semua ini untuk ayah saya yang sudah pergi meninggalkan saya selain ini merupakan penampilan terakhir saya dalam kejohanan ini.
"Saya sangat bersyukur di atas kemenangan ini kerana edisi lalu saya dapat pingat perak.
"Arwah ayah pernah berpesan: Abah nak abang dapat emas dalam Sukma Sarawak 2024," luahnya.