Sukma Sarawak 2024 dilancarkan gilang gemilang
ss
Ogos 17, 2024 22:57 MYT
Ogos 17, 2024 22:57 MYT
Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 melakar sejarah mempertandingkan 37 sukan yang melibatkan venue pertandingan di sembilan bahagian secara rasminya membuka tirai dalam satu majlis pembukaan yang gilang gemilang di Stadium Sarawak, Petra Jaya, sebentar tadi.
Pembawa bendera kontinjen johor iaitu pemegang rekod 400 meter kebangsaan dan bintang muda skuasy wanita, Umar Usman sementara Aira Azman, diberi penghormatan untuk membawa bendera kontinjen Kedah menjadi antara tumpuan utama majlis perasmian.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menzahirkan rasa bangga dan teruja dengan penglibatan atlet kali ini di mana buat pertama kalinya, atlet wanita menyertai kesemua 37 jenis sukan.
Hannah dalam ucapannya memuji keberkesanan Sukma dalam melahirkan kelompok atlet menerusi platform terbaik.
"Sukma kali ke-21 ini merupakan temasya yang terbesar dalam sejarah. Ianya bakal mempertandingkan 37 jenis sukan melibatkan venue pertandingan di 9 bahagian seluruh negeri Sarawak. Jauh lebih besar berbanding 2 kali penganjuran SUKMA oleh Sarawak pada tahun 1990 dan 2016.
"Buat pertama kalinya, atlet wanita menyertai kesemua 37 jenis sukan. Berbanding hanya 36 jenis sukan disertai atlet lelaki. Ini kerana sukan bola jaring tidak mempertandingkan kategori lelaki.
"Daripada 41 disiplin sukan yang dipertandingkan, 40 disiplin sukan disertai atlet wanita. Ini kerana acara futsal terpaksa digugurkan kerana jumlah penyertaan tidak mencapai syarat minimum. Untuk atlet lelaki, hanya 39 disiplin sukan boleh disertai kecuali bola jaring dan gimrama. Saya percaya Sukma kali sebagai batu locatan pemerkasaan wanita dalam sukan.
"Kita ada inisiatif Road to Gold (RTG) sebagai ruang elit menyediakan atlet negara ke Olimpik. Manakala Sukma merupakan batu loncatan ke arah tersebut. Pada saya Sukma kali ini menyediakan platform terbaik dalam membangunkan bakat dan menyediakan pool atlet. Ini kerana kerajaan Sarawak kali ini bersedia mempertandingkan sukan-sukan yang tidak terpilih dalam SUKMA 2022 sebelum ini.
"Sukma juga memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi Sarawak. Melaluinya, ekosistem industri sukan dan industri pelancongan makin aktif di bumi Sarawak. Hubungan pelbagai kaum dan etnik turut dapat dieratkan.
"Apa yang penting, apabila seramai 7,838 atlet dihimpunkan, pelbagai mesej boleh disampaikan: pelaksanaan Kod Sukan Selamat, sukan yang bersih dan adil serta pendidikan anti-doping melalui platform anti-doping education and learning," katanya.
Simbolik Perasmian Sukma Sarawak itu kemudian disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pelbagai persembahan termasuk tradisional seperti ngajat dan artis Malaysia turut dihidangkan sebelum persembahan bunga api mewarnai ruang angkasa.