SUKMA
Sukma Sarawak 2024: Chen Jie pasang impian ke Sukan Olimpik, mahu jadi seperti Nur Suryani
Penembak Negeri Sembilan, Gan Chen Jie, menepati ramalan meraih dua pingat emas dalam saingan hari pertama acara menembak Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Lapang Sasar Petrajaya hari ini.
Cemerlang dalam acara kegemarannya, 50 meter raifal 3 posisi wanita, Chen Jie memasang impian untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik, sekali gus mengikut jejak bekas penembak negara, Nur Suryani Taibi .
Dengan menimba ilmu dan dorongan daripada Olimpian negara itu, Chen Jie memanfaatkannya untuk memecahkan rekod temasya dengan 574 mata dalam aksi final.
Chen Jie kemudian membantu rakan sepasukannya, Aina Zahara Baharum dan Tan Yee Xuan, untuk menambah koleksi pingat emas dalam acara 50 meter raifal 3 posisi berpasukan dengan bidikan 1,680 mata.
"Sudah pasti saya harap dapat menjadi sepertinya (Nur Suryani)," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Kerana itulah saya mencuba untuk melakukan yang terbaik agar dapat mengikuti perjalanan sepertinya.
"Saya selalu berlatih dengannya dan saya juga selalu bertanyakan saranan daripadanya," katanya.