Sukma Sarawak 2024: Bola keranjang 5x5 Johor elak jumpa Selangor lebih awal
Ogos 16, 2024 19:08 MYT
Ketua jurulatih bola keranjang lima lawan lima Johor untuk Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, Kian Ann Yong, menyifatkan misi pertama mereka sebagai selesai selepas barisannya menempah slot ke pusingan separuh akhir berikutan kemenangan ke atas Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) 79-49.
Pencapaian itu juga mengekalkan rekod pasukan tanpa kalah mereka untuk menempah pertemuan sama ada dengan Selangor atau Melaka dalam separuh akhir.
"Sasaran awal kami memang untuk menewaskan (MSWP) bagi mengelakkan Selangor yang dianggap pencabar terkuat dalam separuh akhir.
"Kami tidak tertekan dalam mencapai kemenangan. Saya harap pemain bebas daripada kecederaan untuk bertemu Sarawak yang akan mendapat sokongan padu penyokong sendiri," katanya.
Dalam pada itu, ketua pasukan, Lim Chee Wei, meletakkan sasaran pingat emas selepas memenangi gangsa dalam Sukma 2022.
Menurut Chee Wei, pesaing terbesar baginya adalah Selangor yang dianggotai lebih ramai kekuatan pemain kebangsaan berbanding Johor.
"Kami mahu teruskan rentak kemenangan ketika bertemu Sarawak.
"Dan saya juga teruja dengan peluang berdepan Selangor. Saya mahu uji diri sendiri bertemu pasukan yang dibarisi ramai pemain profesional," katanya pula.