Sukma Sarawak 2024: Bintang wushu terima durian runtuh


Ogos 16, 2024 23:06 MYT
Niat murni bintang sensasi wushu kontinjen Sarawak, Stephanie Ngu, untuk membantu keluarga akhirnya tercapai apabila menerima durian runtuh berbentuk wang tunai berjumlah RM45,000 berikutan kejayaannya memungut pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 ketiga peribadinya.
Walaupun pulang dengan tangan kosong dalam tiga edisi terdahulu, Stephanie melakar sejarah muncul sebagai atlet wushu pertama yang melakar emas dalam tiga acara disertainya iaitu changquan, jianshu dan qiangshu.
"Saya sangat bangga menjadi atlet wushu pertama yang menyumbangkan tiga emas kepada Sarawak.
"Selepas ini saya akan terus berlatih dan menstabilkan persembahan untuk (mendominasi) dalam penyertaan terakhir Sukma (kelak)," katanya.
Rezeki sememangnya tidak pernah salah alamat — impian Stephanie untuk berada dalam program sukan negara kini berada di landasan tepat apabila lakaran sejarah ini turut disaksikan Presiden Persatuan Wushu Malaysia, Datuk Chong Kim Fatt.
Stephanie sememangnya menggunakan peluang terakhirnya di pentas Sukma selepas tiga penampilannya sebelum ini gagal menghadirkan emas.
"Dia seorang atlet yang berpotensi.
"Selepas ini kami akan bincang dan teliti kerana atlet yang pernah terpilih (untuk hadiah kemenangan) adalah juara (dalam kalangan) Sukan Asia dan Sukan SEA.
"Dia mengejutkan saya jadi saya bangga dengan tiga emas yang dimenanginya," katanya.
#Sukma #Sukan Malaysia #Sukma Sarawak 2024
;