Sukma Sarawak 2024: Afrina Batrisyia, Jonah Chang bakal isi slot ke Sukan SEA

Saufi Tahir
Ogos 19, 2024 20:20 MYT
Pelari pecut Selangor, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, mencatat larian terbaik musim ini sekali gus memecahkan rekod kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 dengan catatan masa 11.64 saat serta bakal mengisi slot merit ke Sukan SEA Thailand.
Kejayaan Afrina, diukur berdasarkan catatan 11.64 saat mengatasi pemegang pingat gangsa dari Vietnam di Sukan SEA edisi lepas.
"Sepanjang persediaan ini semuanya berjalan dengan lancar, dengan bantuan jurulatih, ISN, MSN dan keluarga.
"Saya rasa semua itu tiada masalah, saya juga tiada kecederaan. Saya bersyukur dapat lakukan yang terbaik hari ini," Katanya.
Selain daripada Afrina, senyuman dalam kecewa terlihat pada atlet lontar peluru negara yang mewakili Sarawak, Jonah Chang, dilihat sedikit terubat apabila namanya turut akan mengisi slot Sukan SEA tahun depan.
Sasaran untuk memecahkan rekod kebangsaan yang di pegang Jonah iaitu 18.46 meter tidak berlaku namun rekod baru kejohanan iaitu 17.66meter turut memadam rekod 14 tahun di pegang Adi Alifudin Hussin cukup untuk Jonah berada dalam kategori A di Thailand nanti.
"Semuanya bagus, berjalan lancar cuma kecewa kerana saya mengalami kecederaan. Saya tidak menjangkakan banyak walaupun pada awalnya saya ingin membuat balingan 18 meter.
"Saya perlu berhati-hati agar kecederaan saya tidak bertambah teruk. Saya akan lakukan yang terbaik dalam acara seterusnya untuk raih emas. Selepas balingan keempat saya sudah rasa kesakitan.
Dalam pada itu, atlet lumba jalan kaki 20,000 meter, Khor Jing Hong, turut berada dalam senarai Sukan SEA tahun hadapan, selepas mencetak rekod kejohanan baru menerusi catatan 1jam 34 minit 38 saat mengatasi rekod 20 tahun lalu iaitu 1jam 34minit 56 saat.
#Sukma #Sukan Malaysia #jonah chang #Sukma Sarawak #Afrina Batrisyia
;