Setelah seminggu bersaing dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018, kontinjen Kelantan akhirnya menamatkan kemarau pingat emas apabila skuad ragbi lelaki tujuh sepasukan (7s) mereka menundukkan Terengganu dalam aksi final di Stadium Ragbi Perak di Ipoh, hari ini.
Bebanan diletakkan terhadap anak buah Mohd Khairol Azhar untuk menuai emas pertama buat kontinjen Cik Siti Wan Kembang setelah satu persatu prospek mereka dalam sukan lain kecundang.
Kelantan juga hadir dengan reputasi sebagai juara dua edisi berturut-turut pada 2011 dan 2013 di Kuala Lumpur.
Ternyata, Kelantan menepati harapan yang diletakkan apabila sejak awal permainan lagi mendominasi saingan.
Mata demi mata dipungut menerusi try dan conversion dan pada masa yang sama, benteng Kelantan kekal utuh untuk menghalang sebarang mata dilepaskan kepada Terengganu bagi memuktamadkan kemenangan 19-0.
"Pada asalnya, skuad ragbi lelaki menyasarkan kejuaraan hatrik dalam Sukma tetapi tidak sangka selepas seminggu temasya berlangsung, kontinjen Kelantan masih belum memenangi sebarang emas, jadi saya menyeru anak-anak buah saya agar berusaha mencipta kemenangan," kata Khairol.
Menurut kapten Terengganu, Azam Fakhrullah Abd Razak: "Kami kehilangan dua pemain disebabkan kecederaan pergelangan kaki manakala seorang lagi dilayangkan kad merah.
"Disebabkan faktor itu, kami tidak berpeluang untuk menyumbang emas buat Terengganu."
Turut mencatat sejarah apabila pasukan ragbi Sabah dinobatkan sebagai juara sulung kategori wanita.
Ini merupakan kali pertama ragbi 7s wanita dipertandingkan di pentas Sukma dan skuad Sabah yang dibantu legenda New Zealand All Black, Brad Mika, unggul untuk menundukkan Selangor 31-0 dalam aksi final.
Penulis Jemputan
Sun Sep 16 2018