SUKAN LAIN

Sukma MSN: Pentas terbaik Khairi Adib buru tempat ke Sukan SEA 2023

Shaiful Shamsudin 12/09/2022 | 10:51 MYT
Atlet pencak silat negara, Mohammad Khairi Adib Azhar, tidak sekadar mengidamkan pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung Jumaat ini.
Malah, Khairi Adib yang mewakili Kuala Lumpur meletakkan misi menyertai skuad negara menerusi pentas pemilihan itu menjelang acara sukan dwi-tahunan tersebut pada tahun depan.
Untuk rekod, Khairi Adib meraih pingat emas Sukan SEA Hanoi, Mei lalu, selepas menewaskan lawan dari Indonesia, Khoirudin Mustakim dalam perlawanan akhir kelas putra B 50-55 kilogram (kg) dengan keputusan 50-49.
"Saya yakin dengan kemampuan sendiri. Saya cuma risau dengan perkara kecil, contohnya kecederaan. Saya bimbang tidak dapat buat sehabis baik.
"Terengganu dan Pahang menjadi pencabar yang kuat. Saya akan cuba sehabis baik untuk menjadi juara.
"Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan tidak memandang rendah kepada peserta negeri lain.
"Mereka gigih berlatih, begitu juga saya untuk kekalkan juara.
"Saya masih ingin mewakili Malaysia dan mahu terpilih dalam Sukan SEA Kemboja," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Acara pencak silat yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula 20 - 24 September ini dengan 15 acara lelaki dan 11 acara wanita dipertandingkan.
#Pencak Silat #Sukma #Sukma MSN
;