Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang dijadual semula pada April tahun depan terpaksa ditangguh lagi ke 2024.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma, hari ini.




Dalam masa sama, Jawatankuasa Tertinggi juga bersetuju untuk memberi laluan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Sukma 2022 dan Sukan Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur.

"Tarikh penganjuran kedua-dua temasya berkenaan akan dicadangkan oleh pihak MSN untuk kelulusan Jawatankuasa Tertinggi Sukma dan Para Sukma akan datang.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan cadangan ini kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk tujuan kelulusan pelaksanaan temasya ini," katanya dalam satu kenyataan.

Pengelolaan temasya tempatan dwitahunan itu sudah ditangguhkan beberapa kali berikutan penularan COVID-19.