SUKAN LAIN
Sukma: Hafiz tekad padam kekecewaan Sukan Komanwel
Atlet angkat berat Perak, Hafiz Shamsuddin, tekad menjadikan pentas Sukma 2022 sebagai medan kebangkitan selepas kecewa di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Hafiz yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukma Perak 2018 mengakui dia sudah melupakan kegagalan di Birmingham dan kini dalam persiapan terbaik untuk kembali beraksi.
Atlet kelahiran Ipoh itu bakal tampil di pentas Sukma keduanya selepas edisi 2018 dan bakal bersaing dalam kategori 96kg ke atas di Sukma 2022.
"Persiapan kali ini adalah lebih baik berbanding ke Sukan Komanwel. Saya mahu tebus kekecewaan di Birmingham, enggan mengulangi kesilapan yang sama," katanya.
"Saya rasa sudah bersedia untuk menghadapi Sukma kali ini. Tetapi keutamaan adalah angkatan saya ketika hari pertandingan."