Sukan wushu sering dimonopoli oleh atlet berbangsa Cina, namun lain pula kisah dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak kali ini apabila pasangan adik-beradik, Muhammad Afiq Danial Firdaus dan Muhammad Danish Aizad Firdaus, berjaya memecah monopoli tersebut, lebih menarik mereka mewakili negeri yang berbeza.
Ini merupakan penampilan pertama kedua-dua adik beradik ini di pentas Sukma. Danish yang berumur 14 tahun mewakili negeri kelahirannya, Pulau Pinang, manakala Afiq, 16 tahun, diserap mewakili kontinjen Terengganu.
Mereka juga tidak gugup untuk mempamer keyakinan tinggi ketika menampilkan rutin dalam acara masing-masing sehingga berjaya meraih pingat.
Kedua-dua beradik itu berjaya mengetepikan stigma bangsa apabila mmenangi pingat, dengan Danish meraih perak dalam acara gunshu manakala Afiq mendapat gangsa dalam acara jianshu.
"Agak terkejut kerana tidak sangka meraih pingat gangsa dalam saingan kali ini," kata Afiq.
Danish juga adalah sebahagian daripada skuad muda negara yang beraksi dalam Kejohanan Wushu Remaja Dunia di Brasilia, Brazil, Julai lalu dan berjaya meraih emas dalam acara gunshu.
Kedua-dua beradik itu sepatutnya akan bersaing sesama mereka dalam acara changquan yang akan berlangsung pada 12 September ini tetapi Danish mengambil keputusan menarik diri pada saat-saat akhir kerana masih khuatir dengan kecederaan hasmtring yang dialami sebelum ini.
"Saya mengalami kecederaan dan mengambil keputusan untuk menarik diri daripada acara tersebut," kata Danish.
Penulis Jemputan
Tue Sep 11 2018