Sukma 2024: Terengganu tepati ramalan, ungguli acara berbasikal
Najmi Iman
Ogos 16, 2024 10:57 MYT
Ogos 16, 2024 10:57 MYT
Kekuatan kem Terengganu dalam acara berbasikal tidak dapat disangkal apabila membolot dua pingat emas dalam dua acara iaitu lepas beramai-ramai individu dan berpasukan lelaki dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak.
Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem menjadi saksi pelumba sensasi, Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi, susulan membantu pasukan Terengganu menamatkan perlumbaan di tempat pertama temasya dwitahunan tersebut.
Ketika acara individu, Iqbal Daniel mencatatkan masa 3j 39m dan 16s dalam saingan sejauh 146.4km sambil menyertai acara berpasukan untuk membantu Terengganu mengulangi pencapaian edisi 2016 di tempat yang sama.
Setakat hari ini, Terengganu menduduki tangga pertama carta kedudukan pingat dengan mengumpul sebanyak empat pingat emas dihadapan Melaka dan tuan rumah.