Ketua jurulatih skuad futsal Wilayah Persekutuan, Ruzaley Aziz, terpaksa akur dengan barisan pemain sedia adanya selepas pasukan itu hanya mampu dibentuk semula sejak lima bulan yang lalu.
Kali terakhir dia bersama pasukan adalah ketika menjulang kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) edisi 2018 namun, apa yang mengecewakan adalah acara itu tidak akan dipertandingkan dalam edisi seterusnya.
Kehilangan kebanyakan pemain utama dan momentum terbaik adalah antara kekangan yang dihadapi Ruzaley selepas terpaksa merangka latihan bermula dari bawah.
"Sebenarnya perkara ini terbuka, nak kata sukar memang sukar, nak kat mudah itu mustahil. Semua pasukan mahukan kejuaraan dan bersedia dan kami salah satu daripadanya.
"Kita perlukan persefahaman, itu perkara yang sukar buat semua pasukan, sama kerana rata-ratanya mereka pemain-pemain baru," Kata ketua jurulatih futsal Sukma Wilayah Persekutuan, Ruzaley Aziz.
Dalam pada itu, kapten pasukan, Aisar Azhar mengakui bahawa tiada masalah untuk mencipta keserasian bersama rakan sepasukan memandangkan sudah berbulan menjalani latihan bersama.
Walaupun diletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya meraih kedudukan podium, Aisar komited dengan kemampuan pasukan diketuainya untuk menewaskan pencabar terdekat iaitu Johor, Pahang termasuk pasukan tuan rumah, iaitu Sarawak.
Saufi Tahir
Wed Aug 07 2024