Sukma 2024: Orang ramai beratur panjang penuhkan Stadium Sarawak menjelang upacara pembukaan
Muzaffar Musa
Ogos 17, 2024 16:52 MYT
Ogos 17, 2024 16:52 MYT
Orang ramai sudah mula beratur panjang di pintu masuk Stadium Sarawak bagi menghadiri upacara pembukaan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 malam ini.
Seperti yang dilaporkan wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman, dalam lintas langsung sebentar tadi, orang ramai sudah mula beratur sejak jam 3.00 petang biarpun pintu masuk masih belum dibuka.
Cuaca panas juga tidak mematahkan semangat mereka untuk menjadi sebahagian daripada sejarah negeri itu dalam penganjuran temasya terbesar peringkat kebangsaan berkenaan.
"Saya sudah berada di sini sebelum pukul 3 petang," kata seorang individu wanita yang ditemui di stadium berkenaan.
"Saya datang untuk menyokong Sarawak. Saya menyokong (kontinjen) Sarawak dalam semua jenis sukan," katanya.
Upacara pembukaan akan bermula pada jam 7.00 malam ini dan dijangka tamat pada jam 11.00 malam ini.