Sukma 2024: Insentif lumayan menanti atlet Sarawak andai muncul juara keseluruhan
Saufi Tahir
Ogos 2, 2024 21:05 MYT
Ogos 2, 2024 21:05 MYT
Menteri belia, sukan dan pembangunan usahawan Sarawak, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah, menjelaskan bahawa sekiranya Sarawak menjadi juara secara keseluruhan dalam edisi Sukan Malaysia (Sukma) kali ini maka insentif lumayan menanti para atlet yang telah mengharumkan nama Sarawak.
Ini berikutan kali terakhir menjadi juara secara keseluruhan adalah pada 30 tahun yang lalu.
Dia menjelaskan bahawa insentif kepada pemenang pingat emas dalam edisi lalu adalah sebanyak RM3000 dan memandangkan Sarawak menjadi tuan rumah pada edisi tahun ini maka kadar insentif akan bertambah mahupun kekal pada jumlah sama buat penyumbang pingat nanti.
"Saya tahu ada negeri lain yang telah umumkan insentif kepada pemenang pingat, begitu juga di Sarawak kerana telah harumkan nama negeri.
"Sekarang Sarawak sebagai tuan rumah semestinya insentif sama atau lebih, tidak akan kurang.
"Harapan Sarawak adalah untuk menjadi juara keseluruhan kerana kali terakhir adalah pada 30 tahun dahulu jadi jika kita dapat capai maka kerajaan Sarawak akan beri insentif lumayan. Sasaran kami adalah 70 pingat emas." Katanya kepada Nadi Arena.