Umar Osman membuktikan kejaguhannya sebagai pelari 400 meter dengan memecah rekod selama enam edisi Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) menerusi jurang sekitar 1 saat di Sintok, Kedah, hari ini.

Dengan kejayaan itu, Umar juga melepasi sasaran dan matlamat peribadinya dengan catatan masa 46.49 saat, secara tidak langsung memadam rekod catatan 47.54s yang direkodkan dalam SUKIPT edisi pertama pada 2012.

SUKIPT turut dijadikan pelantar persiapan dan persediaan ke Sukan SEA Thailand yang dijadual berlangsung hujung tahun hadapan.

"Saya gembira dapat mengatasi rekod 2012.

"Saya memang menyasarkan rekod walaupun tiada rezeki untuk rekod kebangsaan.

"Saya mungkin melakukan rekod baru pada tahun depan. Saya akan melakukan persiapan awal ke Sukan SEA jadi saya perlu berwaspada dan kekalkan fokus," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.