UNIVERSIADE
SUKIPT: UiTM sifatkan penganjuran UUM sebagai penanda aras baru
Dua atlet sukan kayak, Nik Afiq Nik Mazli, daripada Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) serta Siti Nurqasrini Syahzanani Mustapa yang mewakili Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2024.
Tatkala UiTM muncul juara keseluruhan di Sintok, Kedah, acara kayak (TK1 Lelaki 200m) menyaksikan Nik Afiq memecahkan rekod kebangsaan berusia 10 tahun dengan catatan baru, 42.97s, untuk mengatasi rekod 46.857s yang dicipta dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perlis 2014, manakala Siti Nurqasrini pula berhasil memperbaharui masa 57.29s bagi memadam catatan 58.43s yang dirakam -- juga dalam Sukma Perlis.
Kejayaan pasukan bola sepak UiTM yang mempertahankan kejuaraan semenjak edisi 2018 serta pencapaian pasukan bola jaring Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) untuk muncul juara buat julung-julung kalinya menyaksikan masing-masing diumumkan Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita SUKIPT 2024.
Iklan
Selain itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr Mohd Sazili Shahibi, tidak menafikan bakal ada imbuhan daripada pihak UiTM kepada semua atlet yang telah menyumbangkan pingat.
"Pihak pengurusan tertinggi universiti akan mempertimbangkan imbuhan tertentu untuk mahasiswa dan mahasiswi yang telah mengorbankan masa dan tenaga bagi memastikan kejayaan UiTM di persada negara," katanya.
Dia juga sempat memberikan maklum balas positif terhadap pihak tuan rumah, Universiti Utara Malaysia (UUM), atas penganjuran SUKIPT kali ini sambil berasakan suatu penanda aras tahap prestij kejohanan telah ditingkatkan.
Must-Watch Video