Atlet lempar cakera kebangsaan, Kamal Farhan, akur catatannya kurang memuaskan selepas melakar 45.42 meter dalam Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, hari ini.

Namun, apa yang menambah gusar apabila catatan itu tidak mampu melayakkan dirinya ke Sukan SEA Thailand 2025 yang memerlukan catatan sekurang-kurangnya lebih daripada 50 meter.

Dia yang mewakili Universiti Putra Malaysia (UPM) hanya sempat menjalani latihan selama enam ke tujuh bulan sebelum berjaya memastikan pingat emas menjadi miliknya.

Namun, tidak untuk dia mencipta catatan terbaik.

"Sudah dua tahun saya tidak mencapai catatan terbaik.

"Kalau saya dapat lepasi 50m, saya berpeluang untuk merebut medal (Sukan SEA).

"Saya baru kembali berlatih, biasanya selepas berehat sementara, ia memerlukan masa setahun untuk kembalikan prestasi dan saya kini memasuki bulan ketujuh.

"Catatan 45m bukanlah satu keputusan yang terlalu buruk sebenarnya tapi saya masih tidak berpuas hati kerana ia jauh dengan catatan terbaik saya," katanya.