Pemenang emas Kyorugi Sukma 2024, Fu Ceen, meletakkan sasaran untuk beraksi di saingan Sukan SEA selepas memberikan aksi yang mengagumkan dalam saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2024, sebelum ini.

Dia akan beraksi buat kali kedua dalam temasya sukan terbesar Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 selepas kali terakhir adalah dalam edisi 2022 lalu.

"Saya akan mewakili Politeknik Malaysia. Persiapan latihan sukar memandangkan Sukma baru tamat dan saya terus berlatih untuk Sukipt pula, Hanya tiga hari berehat. Sasaran saya untuk ke Sukan SEA nanti." katanya.





Dalam pada itu, juara Boling Padang Dunia 2023, Nur Ain Nabila dan Aleena Nawawi, menjelaskan bahawa pengalaman menjadi aspek penting dalam acara boling padang dan peluang untuk mana-mana pasukan menang masih terbuka.

"Dalam sukan boling padang, gelaran nombor dua dan yang pertama adalah pengalaman dan nasib. Kerana padang berbeza di luar negara dan Malaysia. Pemain kebangsaan juga boleh dikalahkan." tambah Aleena Nawawi.

"UPNM akan beri saingan kerana ada pemain kebangsaan, yang main boling padang adalah pasukan Sukma. Boleh lihat cara permainan mereka dan ada strategi," kata Nur Ain Nabila.

Dengan slogan 'Minda Juara', SUKIPT akan meneruskan tradisinya di Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku tuan rumah buat lebih enam ribu atlet bersaingan daripada 6 hingga 14 September ini..

Temasya ini akan disertai 74 kontinjen yang sudah mengesahkan penyertaan dan akan mempertandingkan 28 sukan dengan jumlah 233 pingat emas menjadi rebutan.