SILAT
SUKIPT: Diana rangkul emas selepas dicedera di muka
Atlet pencak silat dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Nur Diana Alleesya Shaharuddin, menjadi perhatian penonton apabila dicederakan sebelum kemenangan berpihak kepadanya dalam pertarungan akhir silat Kelas E Putri, Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), hari ini.
Diana berdepan aksi penuh mendebarkan kerana mengalami kecederaan di muka selepas diterjah oleh lawan dari Universiti Malaysia Sabah, Christina Edris.
Pesilat yang menyertai SUKIPT buat kali pertama itu, bagaimanapun, dilihat masih cuba meneruskan perlawanan sebelum disahkan tidak lagi mampu beraksi setelah diterjah buat kali ketiga di bahagian sama, sekali gus memberi kemenangan emas kepadanya setelah lawannya dipersalahkan.
"Saya tidak jangka jadi macam ini, nak buat macam mana, tidak boleh lawan. Tetapi saya nak lawan lagi, cuma tidak dapat. Ini adalah pengalaman bagi saya dalam SUKIPT," kata Nur Diana.
Christina tidak menolak keinginan tinggi untuk memenangi emas buat kali kedua menyebabkan aksinya terlalu aggresif, apatah lagi dia juga adalah atlet karate yang akan beraksi esok.
Dia yang juga merupakan atlet ragbi negara menerima kesilapan yang dilakukan meskipun pada awalnya telah mendahului perlawanan.
"Menang kalah adat perlawanan tetapi ini adalah kesilapan saya kerana mengikut mental. Saya tidak dapat kawal diri, tertumbuk di muka.
"Ia kerana saya biasa main karate, biasa tumbuk di bahagian atas. Ini kesilapan sendiri," kata Christina yang akur dengan pingat perak.