SUKIPT: 28 sukan, 233 pingat emas jadi rebutan

Najmi Iman
Ogos 20, 2024 21:15 MYT
Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 tampak menawarkan keterujaan luar biasa buat peminat sukan tanah air yang akan bermula 6 hingga 14 September depan.
Selepas kesinambungan daripada Sukan Olimpik Paris 2024 dan temasya Sukan Malaysia (Sukma Sarawak) 2024, SUKIPT juga bakal diserikan dengan kehadiran tiga Olimpian negara yang akan mengambil bahagian.
Antara nama yang akan memeriahkan kejohanan tersebut ialah pemanah recurve negara, Syaqiera Mashayikh, Ariana Nur Dania Zairi dan Nurul Azreena Fazil yang akan mewakili universiti masing-masing.
"Mereka layak bertanding sekali gus meniupkan semangat buat atlet-atlet lain untuk bersaing sambil melihat ia satu perkembangan positif kerana mempunyai Olimpian dalam edisi kali ini," kata Ketua Sekretariat SUKIPT, Tony Azman Hassan.
'Minda Juara' menjadi slogan edisi kali ini tatkala Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku tuan rumah yang akan menyaksikan lebih 6000 atlet serata Malaysia bakal membuat penampilan.
Setakat ini, 74 kontinjen daripada universiti seluruh negara sudah mengesahkan penyertaan sambil 28 sukan akan dipertandingkan dengan jumlah 233 pingat emas jadi rebutan.
#SukIPT #Sukan Institusi Pengajian Tinggi
;