Sukan Universiti Dunia: Umar Osman sekali lagi pecah rekod kebangsaan untuk ke final
Muzaffar Musa
Ogos 2, 2023 16:48 MYT
Ogos 2, 2023 16:48 MYT
Pelari negara, Umar Osman, terus mencipta sensasi apabila sekali memecahkan rekod 400m kebangsaan dalam separuh akhir Sukan Universiti Dunia di Stadium Pusat Sukan Shuangliu, China hari ini.
Umar, yang beraksi di lorong keempat separuh akhir ketiga, mencatatkan masa 46.09 saat untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dan layak ke final esok.
Catatan itu merupakan yang keempat terbaik dalam separuh akhir, sekali gus menunjukkan dia mampu untuk bersaing merebut kedudukan podium.
Semalam, pelari berusia 24 tahun itu memperbaharui rekod kebangsaan 46.34s yang dilakukannya dalam Sukan SEA Kemboja pada Mei lalu apabila mencatatkan 46.33s dalam pusingan saringan semalam.