SUKAN LAIN

Sukan Universiti Dunia: Andre Anura jangka sempat pulih sebelum Sukan Asia

Shaiful Shamsudin 05/08/2023 | 14:39 MYT
Kuartet 4x100 meter wanita negara terpaksa akur mengakhiri kempen Kejohanan Sukan Universiti Dunia Chengdu 2023 di tempat ke-10 peringkat saringan di Stadium Shuangliu, hari ini.
Gandingan negara yang dibarisi Chelsea Cassiopea, Nor Sarah Adi, Nur Afrina Batrisyia Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling sekadar mencatat 45.66 saat dan gagal mara ke pusingan akhir.
"Kami tidak begitu berikan tumpuan kepada acara ini. Tapi catatan ini masih dikira baik," katanya Nur Afrina.
Skrip sama terjadi buat kuartet 4x100 meter lelaki yang melibatkan gandingan Yusridzwan Danial Yusof, Jonathan Nyepa, Thaqif Hisham dan Aqil Yasmin juga terkandas dalam saringan dengan catatan 40.04s.
Sementara itu, harapan acara lompat jauh negara, Andre Anura Anuar, turut berkecai selepas memutuskan untuk menarik diri berikutan kecederaan di bahagian tumit.
"Kesakitan yang ditanggung sejak lompat kijang kembali terasa sakit dalam percubaan pertama untuk lompat jauh.
"Lagipun saya tidak mahu ia bertambah serius sebab Sukan Asia makin hampir.
"Saya tidak mahu mengambil masa lama untuk pulih daripada kecederaan, " kata pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja itu.
#Olahraga #Andre Anura Anuar #Sukan Universiti Dunia
;