SUKAN LAIN
Sukan tinju negara perlu lebih publisiti -- Adli
Peninju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi, percaya sukan tinju di Malaysia memerlukan lebih publisiti untuk menyaingi negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Filipina dan Thailand.
Adli, 30, menumbangkan peninju Indonesia, Bambang Rusiadi, menerusi "technical knockout" (TKO) pusingan kelima untuk merangkul tali pinggang Majlis Tinju Asia (WBC) kategori super middleweight, Ahad lalu.
Dia yang mengidolakan seorang lagi peninju profesional negara, Farkhan Haron, berpendapat sukan tinju di negara ini memerlukan lebih publisiti daripada pihak media dan ia merupakan usaha yang perlu dilakukan pelbagai pihak, termasuk Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM).
"Sukan tinju di negara ini memerlukan publisiti meluas.
"Kalau di negara jiran seperti Filipina dan Thailand, sukan tinju di sana amat popular.
"Banyak juara dunia datang dari dua negara itu
"Jika Malaysia mahu setaraf dengan mereka, kita memerlukan lebih penyiaran, promosi dan publisiti kerana media di sana akan menyiarkan sukan tinju pada setiap minggu.
"Daripada itu, rakyat mereka akan mengenali wira-wira mereka dalam arena tinju.
"Di pentas amatur, ia menjadi tanggungjawab persatuan untuk memberikan sebaran berita kepada pihak media.
"Ia berbeza dengan pentas profesional yang mempunyai publisiti lebih meluas.
"Apabila saya turun beraksi, pasukan media saya akan mula menyebarkan berita itu kepada media utama.
"Ia merupakan peranan promoter.
"Promoter merupakan barisan depan buat setiap peninju.
"Mereka akan membina hubungan meluas dengan pihak media," katanya menerusi temu bual dalam Nadi@1 sebentar tadi.
Adli pernah meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebelum memilih untuk bergerak secara profesional.
Peninju yang dikenali dengan gelaran 'Golden Boy' itu tidak menolak kejayaan mentornya, Farkhan, menjadi pendorong untuk dia turut menyertai arena profesional.
"Saya mula menyertai sukan tinju sejak di bangku sekolah lagi.
"Ketika berusia 15 tahun, saya terdengar nama Farkhan yang sangat berjaya dalam sukan tinju pada waktu itu.
"Saya mengambil keputusan drastik untuk beralih ke arena profesional kerana ia lebih fleksibel.
"Ia memberikan saya lebih waktu untuk bersama keluarga di Johor Bahru.
"Selain itu, saya dapat melihat bagaimana mentor saya, Farkhan, yang amat berjaya dalam arena tinju profesional.
"Ia membuatkan saya bertekad untuk melakar kejayaan sama seperti itu.
"Sejak daripada itu, saya bergelar peninju profesional."
Mengulas mengenai taraf sukan tinju profesional di Malaysia, Adli menambah: "Sebelum ini, sukan tinju profesional negara agak ketinggalan, namun berlaku perkembangan yang agak ketara sejak penghujung 2016.
"Selain saya, terdapat beberapa lagi peninju negara yang sudah bergelar juara Asia dan Oceania.
"Kami mewakili negara untuk menaikkan sukan tinju profesional dan mahu membuktikan sukan tinju di Malaysia juga tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan negara-negara besar seperti Thailand, Singapura, Filipina dan China," ujarnya.