SUKAN LAIN
Sukan Solidariti Islam: Irfan kecewa tidak didaftar KOM, MSN
Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin, meluahkan kekecewaannya selepas mendakwa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tidak berhasrat untuk menghantarnya ke Kejohanan Sukan Solidariti Islam.
Tambah kepada kekecewaan Irfan, dia kini menduduki ranking pertama kejohanan tersebut dan berpeluang meraih pingat emas.
Irfan kini dalam persiapan akhir menuju ke Sukan Komanwel menerusi deretan kejohanan di Jelajah Eropah, sekaligus memberikannya peluang kekal konsisten dengan catatan lemparan 61 meter ke atas.
"Saya bertanyakan, kenapa saya tidak didaftarkan, pertama alasan pertama adalah kerana 'recovery' yang dijalani selepas menyertai saingan Sukan Komanwel. Yang kedua adalah bagi atlet yang beraksi di Sukan Komanwel, tidak akan beraksi di Sukan Solidariti Islam sementara hanya memiliki kuota enam atlet untuk ke temasya itu.
"Sementara memberikan penjelasan bahawa ia adalah peluang kepada atlet muda memperoleh pendedahan. Saya tidak bersetuju kerana temasya ini adalah 10 kali lebih besar berbanding Sukan SEA."
Bagaimanapun, penjelasan yang disuarakan oleh Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin, bertentangan dengan kenyataan Irfan.
Menurut Jefri, Irfan pada mulanya menolak tawaran untuk beraksi di Sukan Solidariti Islam dengan alasan jurang tarikh selepas Sukan Komanwel terlalu singkat.
Tetapi Irfan mengubah fikiran setelah pendaftaran dibuat.
Keputusan rayuan pendaftaran Irfan hanya akan diketahui selewat-lewatnya esok.
"Pihak MSN telah membuat rayuan dan pihak penganjur telah meletakkan nama Irfan dan hanya bakal diketahui esok," kata Jefri.
"Kami telah berbincang dengan pihak persatuan dan staf kejurulatihan mengenai status Irfan ke Sukan Solidariti Islam, lama sebelum merencana jadual pertandingan atlet bagi tahun 2022.
"Berdasarkan prestasi cemerlang dalam saingan di Eropah, ia adalah faktor Irfan mahu meneruskan rentak cemerlang itu dalam temasya ini."