Skip to main content

Sukan Lain

Sukan SEA: Zulfadhli yakin pertahan emas

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

zulfadhli-juwaidi.jpg
Atlet memanah compound negara, Zulfadhli Ruslan, mahu memastikan keserasian dalam kalangan rakan sepasukan berada pada tahap terbaik dalam misi mempertahankan emas acara berpasukan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Edisi 2015 di Singapura menyaksikan buat julung kalinya Malaysia meraih emas acara berpasukan compound lelaki untuk melengkapkan pencapaian terbaik empat emas yang diraih dalam saingan berkenaan manakala satu lagi emas disumbangkan oleh acara recurve.

Ketika itu, Malaysia diwakili Zulfadhli, Juwaidi Mazuki serta Lee Kin Lip.

Tidak dinafikan, persaingan ketika ini amat sengit dalam merebut tiga slot di samping satu slot simpanan untuk ke Sukan SEA nanti.

Dengan Zulfadhli serta Juwaidi hampir pasti tersenarai, baki dua lagi slot menjadi rebutan antara Kin Lip, M. Khambeswaran dan Ariff Aqil Muhammad Ghazali.

"Kami sudah mencuba kombinasi beberapa kali dan segalanya berjalan dengan lancar. Ketika di Bangkok, kami digandingkan dengan Khambeswaran dan berjaya membawa pulang pingat gangsa. 

"Di peringkat Asia, kami meraih pingat emas dan perak, jadi di peringkat Asia Tenggara, kami pasukan no.1," jelas Zulfadhli.

Pada masa sama, Zulfadhli turut memasang impian memperbaiki persembahan dalam acara individu.

Dua tahun lalu, dia meraih pingat perak selepas kecundang kepada pemanah Vietnam, Nguyen Tien Cuong, sementara Juwaidi membawa pulang gangsa.

Dengan acara compound memanah menjadi medan buruan pingat awal, tidak mustahil Zulfadhli berpeluang menjadi atlet pertama negara untuk menyumbang emas buat kontinjen negara.

"Daripada segi latihan, teknik saya ada sedikit kurang. 

"Prestasi saya tidak menentu tetapi kami masih ada masa beberapa bulan untuk memperbaiki segala kekurangan," tambah Zulfadhli.

Advertisement

Must Watch Video