SUKAN LAIN
Sukan SEA: Wabak denggi undang kebimbangan negara lain
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, mula dihujani persoalan daripada negara jiran mengenai status kes denggi di Bandar Sukan Kuala Lumpur (KL), Bukit Jalil -- petanda kebimbangan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Peningkatan kes denggi, terutama di Bandar Sukan KL, mula mendapat perhatian delegasi luar negara.
Beberapa negara jiran sudah menghubungi MOM untuk mendapatkan perkembangan semasa menjelang temasya Ogos depan.
Malah, isu itu adalah antara yang akan dibincangkan dalam seminar chef-de-mission di ibu kota, 18 Februari ini, yang turut dihadiri semua 11 negara peserta.
"Semua pihak sedar senario di Asia Tenggara ketika ini.
"Semakin dekat berlangsungnya temasya, perkara seumpama ini (kes denggi) pasti menjadi tumpuan ramai dan media, sepertimana wabak Zika sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik Rio," ujar Tunku Imran.
Setakat ini, tujuh individu terdiri daripada atlet, jurulatih dan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) sedang menerima rawatan kes denggi.
MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) masing-masing sudah menubuhkan bilik gerakan di asrama penginapan atlet.
Mereka yang mengalami simptom seperti pening, demam atau muntah akan menerima rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.
Langkah ini bagi meningkatkan keyakinan Tunku Imran bahawa kes denggi di Bandar Sukan KL adalah terkawal.
"Kita harus persoalkan, adakah kontraktor menepati peraturan pembinaan di Bandar Sukan KL kerana kita tahu apabila adanya kawasan pembinaan, pasti akan wujud sarang nyamuk.
"Mungkin mereka perlu menghapuskan telur-telur nyamuk di kawasan pembinaan.
"Adakah kes denggi ini berlaku secara kebetulan menjelang Sukan SEA?"