KL2017
Sukan SEA: Venue akan siap tepat pada masa -- Zolkples
Perkhabaran baik menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini berterusan apabila Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) mengesahkan kerja menaik taraf venue akan siap bukan sahaja tepat pada waktu, malah berupaya digunakan bagi majoriti keperluan saingan pra Sukan SEA.
Venue pertandingan Sukan SEA Kuala Lumpur merangkumi enam kategori membabitkan empat kluster, persendirian dan luar dari Lembah Klang.
Kegusaran sebelum ini tertumpu kepada venue utama, KL Sports City di Bukit Jalil, yang memainkan peranan sebagai kluster utama.
Berdasarkan penjadualan MASOC, saingan pra Sukan SEA akan bermula secara berfasa Julai ini sebelum upacara perasmian 19 Ogos ini.
"Tujuan mengadakan pra Sukan SEA ini adalah untuk mencapai beberapa matlamat utama.
"Pertama, kami mahu menguji kemudahan yang ada dan kedua, menguji segala peralatan yang bakal digunakan.
"Ketiga, kami mahu menguji setiap pegawai yang terlibat dan yang paling penting, menguji pegawai teknikal," jelas Ketua Pegawai Eksekutif MASOC, Zolkples Embong.
Dalam pada itu, tempoh menuju 100 hari sebelum kempen Kita Juara bermula menyaksikan MASOC memerlukan kerjasama pelbagai pihak, terutama persatuan sukan yang terlibat.
Difahamkan, aspek persediaan menjelang temasya termasuk kepakaran pegawai teknikal tidak berada di tahap memuaskan.
"Ketika kami mengadakan mesyuarat pertama, semua pihak berjanji untuk membantu. Tetapi tahulah perangai orang dalam persatuan.
"Semalam, ada wakil persatuan yang kena 'bakar' dengan saya kerana kita sudah sampai di peringkat di mana kita perlu menyiapkan venue dan sebagainya.
"Kita perlu mengikut tarikh yang telah ditetapkan," tambah Zolkples.