Skip to main content

Hoki

Sukan SEA: Van Huizen masih belum puas hati

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki-malaysia_7.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, belum berpuas hati dengan persiapan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 walaupun The Malaysian Hockey Tigers menang 6-1 ke atas Skuad Projek 2020 dalam satu aksi persahabatan, semalam.

Kemenangan besar berkenaan belum cukup memuaskan hati pengendali berusia 58 tahun itu.

Beberapa taktikal gagal menghasilkan gol, terutama dalam suku pertama, sebelum Van Huizen mengarahkan serangan bertali arus dalam suku kedua yang menghasilkan deretan gol.

"Larian mereka agak perlahan, saya tidak juga tidak mengharapkan mereka tajam di hadapan gawang lawan. 

"Sebaliknya, saya mahu mereka bermain dengan baik meskipun keletihan," katanya.

Faiz Helmi Jali, Shahril Saabah, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abd Jalil, Faizal Saari, Mohd Marhan Abd Jalil dan Azri Hassan mencatat nama selaku penjaring sementara gol sagu hati Skuad Projek 2020 disumbangkan pemain pertahanan, Arif Shafie.

Ini aksi persahabatan terakhir sebelum Malaysia menghadapi Sukan SEA, tiga minggu lagi.

"Dalam Sukan SEA nanti, kami akan berdepan pasukan yang menduduki ranking lebih rendah, jadi kami menjangkakan mereka akan menerapkan corak bertahan.

"Jadi, perlawanan ini melatih kami untuk menghadapi situasi itu," jelas pemain pertahanan, Muhammad Razie Rahim.

Sementara itu, penjaring tunggal bagi skuad projek, Arif Shafie, melihat perlawananan persahabatan itu sebagai penyuntik semangat untuk dia meningkatkan lagi permainannya.

"Saya amat berbangga kerana dapat menjaringkan gol berdepan skuad senior. Saya berharap dapat membawa momentum ini ke Piala Dunia Remaja 2020 nanti," ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video