KL2017
Sukan SEA: Tiada masalah tanpa perkampungan sukan
"Walaupun tiada perkampungan sukan, ia tidak akan menjejaskan prestasi atlet," kata Chef-de-mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur, Datuk Marina Chin.
Jelasnya lagi, perkara itu pasti tidak akan menggangu kerana kemudahan perjalanan atlet dari penempatan ke venue pertandingan disediakan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC).
"Apa yang telah disediakan oleh MASOC memudahkan atlet untuk ke venue masing-masing," katanya dalam temubual 'Di Ambang Sukan SEA' menerusi Astro Arena, malam ini.
Iklan
Dalam pada itu, mengulas mengenai isu pengguguran pelari pecut wanita negara, S. Komalam Shally, daripada skuad olahraga, Marina berkata ia adalah tindakan tepat bagi menangani atlet bermasalah.
"Sebagai atlet senior, mereka seharusnya tidak boleh melanggar peraturan kerana disiplin merupakan satu aspek yang penting untuk pencapaian.
"Jika tiada perkara ini, ia akan menyukarkan atlet itu sendiri. Saya seorang individu yang sangat mementingkan perkara ini.
"Hukuman ini diambil sebagai satu pengajaran yang diberikan kepada atlet-atlet lain supaya memberikan tumpuan penuh kepada Sukan SEA."
Bercakap mengenai potensi skuad itu, Marina berkata mereka mampu memperbaiki pencapaian di Singapura dua tahun lalu.
"Saya yakin sukan olahraga boleh memperbaiki pencapaian di Singapura, ramai atlet muda yang semakin meningkat dan mempamerkan persembahan yang cemerlang.
"Jika mereka dapat memberikan yang terbaik dalam Sukan SEA, emas mampu dilahirkan daripada sukan olahraga," tambahnya.
Must-Watch Video